"Takkan di Malaysia nie dah tak ada anak teruna, sampai kau nak kahwin dengan duda tu?" Abah bersuara membuatkan perutku seakan kecut. Abah amat jarang berbual-bual denganku. Dan aku amat menghormatinya sehinggakan timbul perasaan takut dalam diriku. Berbeza dengan emak yang begitu akrab denganku.
Aku hanya mendiamkan diri. Aku memandang ke wajah emak yang duduk di sebelah abah. Aku mengerutkan dahi kepada emak agar dia memahami isyaratku supaya membantuku untuk menjawab soalan abah. Tapi, emak buat-buat tidak faham.
Aku menarik nafas seketika sebelum menjawab pertanyaan dari abah.
"Bukan begitu abah. Sudah jodoh saya dengan dia." Jawabku perlahan. Sedikitpun aku tidak berani menentang mata abah.
Abah merengus perlahan. Aku tahu, dia bukannya marahkan aku kerana mahu mengahwini seorang duda tetapi, kalau boleh dielakkan lagi elok. Sedangkan dulu sewaktu emak mengahwini abah, abah juga seorang duda beranak satu. Mungkin dia tidak mahu aku mengikut jejak langkah emak yang mengahwini seorang duda.
"Alah, abahnya... apa salahnya. Bukannya kita tak kenal si Khairul tu. Dah macam anak kita sendiri. Diakan selalu datang bersama dengan arwahnya Linda dulu. Cuma selepas Farah berpindah kerja, kita langsung tak berjumpa dengan mereka. Sampaikan Linda 'pergi' pun, kita tak tahu." Kata-kata dari emak membuatkan aku berasa sedikit lega. Memang aku sudah memberitahu pada emak dan abah tentang Linda. Mereka pada mulanya amat terkejut dengan berita yang ku bawa, tetapi mereka akur dengan ketetapan Ilahi.
"Abah bukannya menghalang, tapi abah rasa macam tak sedap hati hendak melepaskan Farah berkahwin dengan dia. Lagipun dia ada anak. Macam mana Farah hendak sesuaikan diri dengan anak-anak tiri. Tengok macam kakak kamu, tak mahu dia tinggal dengan emak kamu nie. Dia lebih rela duduk dengan opah sebelah arwah ibunya. Inikan pula kamu yang akan tinggal serumah dengan mereka. Abah takut kalau kau tak sesuai tinggal dengan budak-budak. Kau tu anak tunggal kami. Mana ada adik-beradik yang lain." Abah meluahkan kesangsiannya terhadap kesanggupan aku untuk menjaga bakal anak-anak tiriku itu.
"Itu abah tak perlu risau. Saya dah berjumpa dengan anak-anak Khairul. Mereka nampaknya menyenangi saya dan malah menganggap saya sebagai ibunya. Mungkin mereka kehilangan seorang ibu sewaktu mereka masih kecil, jadi bila Farah rapat dengan mereka lalu mereka anggap Farah nie ibu mereka." Jawabku berhati-hati. Kali ini aku lebih berkeyakinan untuk menjawab setiap soalan yang diajukan oleh abah.
"Farah pasti dengan jodoh Farah ini?" Soal abah.
"Ya." Jawabku gugup.
"Takkan menyesal kalau apa-apa berlaku di kemudian hari?"
"Tak. Farah takkan menyesal." Jawabku dengan yakin.
Abah mengangguk-anggukkan kepalanya mungkin berpuas hati dengan jawapanku. Dia mengalihkan pandangannya kepada emak pula.
"Macam mana Dah? Awak setuju?"
"Saya tak ada masalah. Mana yang baik pada Farah, baiklah pada saya." Balas emak lalu tersenyum senang.
"Baiklah kalau begitu, nanti kau minta pihak Khairul datang untuk berbincang dengan keluarga kita."
Sebaris ayat yang keluar dari mulut abah amat menggembirakan hatiku. tanpa berlengah-lengah lagi aku terus mencapai telefon bimbitku lalu berlari ke tengah halaman rumah dan mendial nombor telefon Khairul. Tidak sabar rasanya untuk aku menyampaikan berita gembira ini.
"Hello." Kedengaran suara Khairul di corong telefon bimbitku.
"Hai, Farah di sini." Balasku pantas.
"So, apa keputusannya?" Soal Khairul tidak sabar.
"What do you think?" Soalku kembali dengan nada yang agak sedih. Sengaja mahu bergurau dengannya.
"Emmm... I don't know. I hope, positive." Balasnya perlahan. Aku tersenyum. Mesti dia buat muka 'seposen', desisku lalu ketawa kecil.
"You laugh, it means..." Suaranya kembali bersemangat. Kali ini aku ketawa besar dan memberitahunya bahawa abah dan emakku bersetuju. Cuma menunggu pihaknya datang untuk merisikku secara rasminya.
"How about your mother?" Soalku pula. Aku tahu ibunya tidak begitu menyenangi dengan keputusannya untuk berkahwin lagi. Aku tidak tahu apa yang dikatakan pada ibunya sewaktu memujuk agar merestui perkahwinanya buat kali kedua ini. Cuma dia meminta agar aku jangan risau. Walaupun begitu, sedikit sebanyak aku seperti terasa tempiasnya. Aku tahu aku bakal menghadapi sedikit masalah apabila berdepan dengan ibunya nanti.
"Dia emak aku. Tahulah aku uruskan. Dia sudah merestui perkahwinan kita and she want to see you."
Bagaikan terhenti jantungku apabila mendengar permintaan ibu Khairul.
"Your mother want to see me?" Soalku kepadanya untuk meminta kepastian.
"Yes... she want to see her future daughter-in-law." Kata Khairul mesra.
Aku mendiamkan diri. Aku tahu, aku perlu berjumpa dengan ibunya. Tapi, entah mengapa hatiku berasa tidak enak. Bukannya aku tak pernah berjumpa dengannya sebelum ini. Sewaktu Linda masih ada, sering juga berkunjung ke rumah ibu Khairul. Mungkin kunjunganku kali ini berbeza dari dahulu. Kalau dulu, kunjunganku hanya sekadar kunjungan rakan anaknya, tapi kali ini kunjunganku adalah untuk bertemu dengan bakal ibu mertuaku!
"Takut?" Suara Khairul kembali menerpa ke corong telingaku. Tersentak aku seketika.
"Emmm... no. Nervous!" Balasku. Kedengaran dia ketawa.
"Bukannya kau tak pernah berjumpa dengan emak aku. It's okay, bukannya mak aku nak makan kau." Ucapnya bergurau. Aku hanya tersenyum.
"OK. Abah dan emakku meminta pihak kau datang untuk membincangkan hal kita." Aku cuba mengelak dari terus membicarakan tentang pertemuan di antara aku dan emak Khairul. Entah mengapa, setiap kali mengingatkan wajah emak Khairul, jantung berdebar-debar sahaja.
"Tentang itu, aku akan berbincang semula dengan emak dan ayahku. Tapi, yang penting sekarang ialah... aku perlu bawa kau berjumpa dengan emak dan ayahku."
"Baiklah. Esok aku akan kembali ke sana. Hari Sabtu, selepas waktu kerja... kita pergi berjumpa dengan mak dan ayah kau."
Akhirnya aku memberikan persetujuan untuk berjumpa dengan emak dan ayah Khairul. Aku tahu aku tidak boleh mengelak dari berjumpa mereka berdua. Lambat laun, aku pasti akan berdepan dengan mereka kerana aku bakal menjadi sebahagian dari keluarga itu.
"That's my girl..." Mendengar suara Khairul membuatkan hatiku kembali tenang. Setenang petang yang indah ini.
Posted at 11:56 pm by yazreina