Aku kegelisahan. Berbagai-bagai persoalan timbul di benakku. Entah mengapa hatiku bagaikan tidak enak untuk menemui emak dan ayah Khairul. Terasa seolah-olah seperti ada sesuatu yang bakal berlaku. Tetapi tidak aku suarakan pada Khairul yang sedang menumpukan perhatiannya pada jalan raya yang tidak begitu sibuk. Aku memandang wajahnya, lama.
"Kenapa?" Soalnya tenang. Agaknya dia perasan aku memerhatikannya agak lama.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepalaku sambil melepaskan keluhan kecil.
"Nervous?" Soalnya lagi. Kali ini ku hanya menganggukkan kepala sambil melemparkan senyuman hambar.
Pantas tangannya mencapai tanganku lalu digenggam erat dan dibawa ke dadanya yang bidang itu.
"Bawa bertenang. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus. Kita sudah hampir sampai nie. Dalam lima belas minit lagi." Aku tahu dia cuba mententeramkan perasaanku yang agak berkecamuk.
Aku tidak memberi apa-apa reaksi. Sebaliknya aku mengalihkan tumpuanku ke tempat duduk belakang. Farhan dan Azim sedang tidur dengan lenanya. Kasihan anak-anak ini. Selepas tamat waktu kerja tadi, Khairul terus membawa aku mengambil Farhan dan Azim dari rumah pengasuh mereka lalu bergegas meneruskan perjalanan pulang ke kampung Khairul.
Tidak lama kemudian Khairul membelokkan keretanya ke sebuah taman perumahan. Di kiri-kanan kelihatan rumah banglo dua tingkat berdiri dengan megahnya. Sudah lama keluarga Khairul menetap di sini. Semenjak aku mula mengenali mereka dahulu. Selalu juga aku bertandang ke mari. Itupun atas desakan Linda dan Khairul. Aku hanya menurut kata mereka kerana tidak mahu dikatakan sengaja menjauhkan diri.
Memang aku cuba menjauhkan diri dari mereka, terutama sekali Khairul. Dengan melihat kebahagiaan mereka, akan membuatkan hatiku bagaikan disiat-siat. Pedihnya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Maka untuk mengelakkan hatiku dari terus menerus terluka, aku terus mencari peluang kerja di tempat lain agar aku dari lari jauh dari mereka berdua. Akhirnya aku dapat menjawat jawatan jauh di kota dan langsung tidak menghubungi mereka.
Tetapi siapa sangka setelah lima tahun aku menyepikan diri, akhirnya aku bertemu semula dengan lelaki di sebelahku ini yang sekarang memegang gelaran duda beranak dua. Dan sekarang pula aku bakal hidup bersama dengan lelaki yang pernah aku cintai secara dalam diam. Aku sendiri masih tidak percaya dengan lamaran dari lelaki ini. Tapi, aku tahu, dia bersungguh-sungguh dan aku merasakan inilah saat yang paling terindah dalam hidupku.
"Kita sudah sampai." Ucapnya hampir ke telingaku. Aku tersentak dari lamunan. Aku berpaling ke kanan untuk memandang wajahnya. Dia sedang tersenyum kepadaku.
"Come!" Ajaknya lalu membuka pintu keretanya. Begitu juga dengan aku. Kemudian aku membuka pintu belakang kereta Wira itu untuk mengambil Azim yang masih lena. Farhan pula sudah awal-awal lagi berlari masuk ke rumah opah dan atuknya. Aku mengangkat Azim dari pembaringannya. Baru sahaja aku mendukungnya, dia sudah terjaga. Kelihatan dia agak mamai. Aku mengucup pipi gebunya.
Khairul membantu aku untuk menutup pintu kereta. Mukanya berseri-seri. Berbeza dengan diriku yang kelihatan amat gugup sekali.
"Opah..!! Opah…!! Auntie datang…!!" Kedengaran lunak suara Farhan memberitahu opahnya akan kedatanganku. Ini membuatkan aku bertambah gementar. Khairul yang memahami keadaanku, menggenggam erat tanganku lalu dikucupnya lembut. Terpana sebentar aku dengan perbuatannya. Tapi yang pastinya ia dapat meredakan sedikit debaran kencang di dadaku.
Aku telah sampai di ambang pintu banglo putih itu. Aku memberikan salam. Seketika kemudian terdengaran suara perempuan menjawab salamku. Aku tahu itu suara Puan Halimah, ibu Khairul. Aku menanti kemunculan ibu Khairul dengan sabar.
"Sudah sampaipun orang yang ditunggu-tunggu." Muncul Encik Said, ayah Khairul yang menyambut aku dan Khairul di pintu. Dia melemparkan senyuman mesra buat kami. Aku membalas dengan seadanya.
"Apa khabar pak cik?" Soalku ramah.
"Baik... baik… Jemputlah masuk."
Dengan bismillah aku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Keadaannya sudah berubah. Perhiasan, perabot dan juga susun aturnya malah catnya juga sudah berganti dengan warna lain. Yalah, sudah lima tahun aku tidak ke sini.
"Mak cik kamu ada di dapur. Apa lagilah yang dibuatnya di dalam sana. Bukannya hendak menyambut bakal menantu." Beritahu ayah Khairul.
Aku tersenyum malu apabila mendengar perkataan ‘bakal menantu’ yang keluar dari mulut ayah Khairul.
Tidak lama kemudian, Farhan datang menerpa kepadaku. Azim pula masih berada di pangkuanku.
"Mari sini pada atok." Ayah Khairul menghulurkan tangannya untuk mengambil Azim dariku. Tetapi, Azim pantas merangkul leherku.
"Amboi… mentang-mentanglah dah dapat mama baru, dengan atok pun dah tak mahu kawan." Seloroh ayah Khairul sambil tangannya memegang tangan Azim. Azim menjerit keengganan. Semakin erat dia merangkul leherku. Akhirnya ayah Khairul mengalah. Dia menarik Farhan lalu mengangkatnya dan diletakkan di atas pangkuannya.
"Apa khabar mak cik?" Ucapku apabila aku melihat emak Khairul sedang jalan menuju ke arah kami di ruang tamu.
"Khabar baik. Sudah lama kamu tak datang ke sini ya?" Balasnya lalu melabuhkan punggungnya di sebelah ayah Khairul. Tiada senyuman di bibirnya.
"Emmm… dah lama juga. Sudah lima tahun." Jawabku gugup.
"Linda meninggal pun kamu tak datang." Katanya lagi. Aku pula mula terasa bahang di dalam perbualan kami.
"Yang sebenarnya saya tak tahu pun kejadian yang menimpa arwah. Kalau tak berjumpa Khairul tiga bulan yang lalu, saya rasa sampai sekarang pun saya takkan tahu." Balasku lalu memandang Khairul yang duduk mendiamkan diri di sebelahku.
"Iyalah… Kalau kamu tak berjumpa dengan dia tiga bulan yang lalu, takkan kamu boleh sampai di sini, kan?" Ada nada sindiran di dalam ayat yang keluar dari mulut emak Khairul.
Aku mula gelisah. Patutlah sepanjang perjalanan ke sini, hatiku berasa sungguh tidak selesa. Seperti ada sesuatu yang menghalang niatku untuk ke sini. Rupa-rupanya emak Khairul tidak begitu menyenangi akan kehadiranku ke sini atau mungkin juga dia tidak begitu menyukai aku berkahwin dengan anaknya.
"Emakkk…" Kata Khairul seolah-olah memberi amaran pada emaknya supaya berhenti dari menyindirku.
Tiba-tiba sahaja perasaanku menjadi begitu sayu. Dadaku sebak dan aku berasa sungguh pilu. Entah mengapa tiba-tiba sahaja perasaan itu hadir. Air hangat bergenang-genang di dalam kelopak mataku. Aku cuba menahannya dari gugur. Aku perlu tabah jika aku mahu meneruskan perhubungan ini walaupun kutahu banyak ranjau dan duri bakal aku hadapi kelak.
Posted at 11:57 pm by yazreina